Friday, December 7, 2012

~ Penulisan Refleksi ~


PENULISAN REFLEKSI TUGASAN

Penulisan ini bertujuan memberikan input mengenai cara menulis refleksi yang berkesan.
Cuba perhatikan penulisan ini,

Alhamdulillah, syukur saya kepada Ilahi dengan limpah kurnia dan keberkatannya dapatlah saya menyiapkan tugasan Teknik Baikpulih dan Penyelenggaraan yang diberikan oleh pensyarah. Kumpulan kami memilih tajuk Lampu Suluh.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sekumpulan saya iaitu Ah Lee dan Aboo dalam menjayakan tugasan ini. Ucapan terima kasih ini juga ditujukan kepada pensyarah kami, En Mohd Ali bin Jemali atas bimbingan, bantuan dan tunjuk ajar beliau dapat menjadikan kami berilmu dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup ini.

Semoga ilmu yang baik ini dapat saya manfaatkan untuk menjadi guru yang berguna apabila saya ditempatkan di sekolah nanti.

Akhir kata, segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri. Wassalam.

Ini adalah penulisan yang selalu menjadi favourite pelajar apabila diminta menulis sesuatu refleksi.

Apa itu REFLEKSI?

Refleksi adalah satu penulisan ilmiah mengenai pengalaman pelajar dalam mengharungi sesuatu peristiwa. Bila dikatakan ilmiah, ia mesti boleh membantu perkembangan intelek sendiri dan orang lain yang membacanya.

Merujuk kepada contoh di atas, apakah yang boleh dipelajari dari pelajar tersebut? Jawapannya TIADA APA-APA. Hanya ucapan terima kasih seperti ucapan pemenang AJL, AF dan siaran TV yang lain.

  • Apakah pengalaman yang ada pada pelajar?
  • Masalah yang dijumpai
  • Cara mengatasi masalah
  • Pengalaman diri sendiri yang lalu
  • Pengalaman orang lain
  • Pembacaan


CONTOH PENULISAN REFLEKSI YANG BERKESAN

Tugasan Teknik Baikpulih dan Penyelenggaraan ini merupakan satu cabaran baru kepada saya. Ini disebabkan saya perlu mengambilnya sebagai pakej opsyen saya iaitu BM/KH/MU. Walaupun saya tidak mengambil opsyen ini sewaktu mendapatkan ijazah, saya pernah belajar mata pelajaran Kemahiran Hidup di sekolah menengah dahulu. Jadi saya tidaklah janggal sangat dengan mata pelajaran ini.

Kumpulan saya mengambil tajuk Lampu Suluh. Saya ditugaskan untuk menyediakan bahan grafik dari internet yang akan dicantumkan dengan teks oleh ahli lain. Dari pencarian bahan-bahan di internet, saya dapati mudah untuk mendapatkan gambar alatan tangan tetapi sukar untuk mendapatkan gambar sebenar membaiki lampu suluh dan lukisan-lukisan yang diinginkan dalam tugasan ini. Saya pula tidak mempunyai pengalaman dalam program perisian grafik. Oleh itu saya telah meminta bantuan sepupu saya untuk menyiapkan lukisan tersebut. Gambar-gambar yang tidak ada di internet diambil dengan kamera pada saya sebelum dipindahkan ke komputer.

Selain itu banyak kekangan yang saya lalui untuk menyiapkan tugasan ini, antaranya kelajuan talian internet, masa untuk berbincang dengan rakan sekumpulan dan tugasan yang bertimpa-timpa dari mata pelajaran lain. Selain itu perisian word yang tidak sama juga menyukarkan saya untuk membuka fail yang dikirim oleh rakan-rakan. Virus dari pen drive luar masih menjadi musuh utama dalam menyiapkan kerja dengan komputer saya.

Dengan siapnya tugasan ini ia memberikan saya satu dimensi baru mengenai mata pelajaran Teknik Baikpulih dan Penyelenggaran ini. Ia mejadikan saya seorang yang teliti dan mempunyai sikap menyelidik atas kerosakan sesuatu barangan mekanikal yang mudah. Sikap ingin membaiki juga dapat menjimatkan wang sekiranya diamalkan di luar sekolah. Sikap ini akan saya terapkan kepada pelajar sekolah apabila saya tamat belajar kelak.


MOHD ALI BIN JEMALI
Jabatan Kemahiran Hidup
Institut Perguruan Temenggong Ibrahim,
Johor Bahru.

Kredit :  http://refleksitugasan.blogspot.com/ 

No comments:

Post a Comment

Komen la sikit ohh :P